Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan dibuka kepada orang ramai untuk validasi atau pengesahan maklumat peribadi bermula Januari ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan memerlukan maklumat yang tepat mengenai keadaan sosioekonomi setiap keluarga, tidak cukup hanya dengan maklumat nama dan tempat tinggal.

“Tanpa pangkalan data ini, berapa banyak peruntukan dibelanjakan pun, ia belum tentu dapat memenuhi sasaran sistem bantuan sosial. Sebab itu saya fokuskan kepada satu pangkalan data menyeluruh ke arah itu,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial X rasmi beliau.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara semalam berkata, sehingga 5 Disember 2023, kemajuannya berada pada tahap 93.3 peratus.

null

“Sesi ujian penerimaan pengguna telah dijalankan dari 28 November sehingga 5 Disember 2023,” katanya.

Beliau berkata, sistem PADU akan dibuka kepada pengguna bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2024 bagi tujuan kemas kini dan pengesahan maklumat individu, manakala bermula 1 April 2024, data dan maklumat yang dikemukakan dalam sistem itu akan dianalisis berdasarkan kes gunaan untuk menentukan kumpulan sasar bagi penyasaran semula subsidi.

Mekanisme penyasaran semula subsidi yang menggunakan data PADU sebagai asas dalam menentukan kumpulan sasar dijangka diumumkan kerajaan pada pertengahan tahun depan, katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata selepas setahun diberi amanah menjadi Menteri Ekonomi, beberapa keputusan penting untuk menstrukturkan ekonomi bagi jangka masa panjang telah dibuat.

Beliau berkata, beberapa keputusan itu sukar untuk dibuat dan dilaksanakan, justeru keputusannya tergendala sebelum ini.

“Contoh yang paling baik ialah reformasi bantuan sosial ke arah mewujudkan sistem perlindungan sosial yang universal. Kemampuan kerajaan menambah baik sistem bantuan sosial kepada mereka yang memerlukan bergantung kepada maklumat penerima,” katanya.

Rafizi berkata, pelaksanaan dasar-dasar menyeluruh ini akan mula dirasai dan difahami oleh rakyat bermula 2024 selepas tahun ini beliau memberi tumpuan untuk mencapai sepakat keputusan-keputusan penting yang tertangguh oleh pentadbiran lalu. 

“Sebelum ini, saya tidak terlalu memberi perhatian untuk menjawab kerana saya tumpukan sepenuh masa untuk memastikan keputusan-keputusan dasar penting dibuat untuk menambah baik struktur ekonomi negara.

“Bermula sekarang, saya akan fokus juga kepada usaha memperbaiki komunikasi kementerian saya dan kerajaan keseluruhannya,” katanya.-BH Online