Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Projek Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim yang bernilai RM40 bilion dijangka bermula seawal tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia adalah projek bertaraf antarabangsa yang dijalankan antara DRB-HICOM Berhad bersama Zhejiang Geely Holding Group Co LTD bagi pembangunan projek Proton City.

“Kerajaan negeri sedang menunggu rangka pelan induk pembangunan AHTV bagi menyediakan kemudahan infrastruktur yang diperlukan bagi projek berkenaan.

“Semalam kerajaan negeri dan pihak Geely mengadakan pertemuan di pejabat Menteri Besar.

“Apabila kita sudah mengetahui pelan induk itu, baru kita (kerajaan negeri) boleh menentukan langkah pelaksanaan seterusnya.

“Jadi, ada beberapa perkara mengenai soal tanah, soal utiliti seperti Lembaga Air Perak dan Tenaga Nasional Bhd dan juga peraturan berkait dengan Majlis Daerah Tanjung Malim,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri hari anugerah Pelajar Anak Angkat Cikgu Saarani dan Pelajar Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani daerah Kinta di bawah Program Transisi Ke Arah Perak Sejahtera di sini hari ini.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian usaha sama antara DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd di ibu negara.

Ia adalah susulan daripada Perjanjian Kerjasama Utama yang ditandatangani pada Oktober 2023 yang telah menetapkan prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama untuk projek AHTV.

Semasa lawatan Perdana Menteri ke Beijing pada April lalu, kedua-dua syarikat itu telah menandatangani Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HOA).

Ini bagi mengukuhkan jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat untuk fasa seterusnya.

HOA ini bertujuan membolehkan projek AHTV membabitkan pembukaan di kawasan berkeluasan diaggarkan kira-kira 400 hektar dibangunkan sebagai hab kenderaan generasi akan datang di Tanjong Malim.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai kira-kira RM32 bilion, termasuk pelaburan daripada syarikat kereta nasional PROTON.-Berita RTM