Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemasangan landasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bermula esok, iaitu berbaki tiga tahun sebelum laluan rel yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia itu sepanjang 665 kilometer (km) yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian pemasangan landasan ECRL pertama itu di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Pada Mei lepas, melalui Pengurus Pembinaan Wilayah (Pahang) Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Khairi Khalid Abdul Rahman berkata, pemasangan landasan pertama itu melibatkan laluan dari Gebeng ke Dungun, Terengganu sepanjang 90km, dengan jangkaan siap antara tiga ke empat bulan.

Gebeng menjadi lokasi pertama dan pemasangan landasan dijangka melibatkan 1.5km sehari memandangkan material yang digunakan termasuk lokomotif diesel buatan CRRC Ziyang, China, bagi melancarkan proses pemasangan, dibawa ke Malaysia menggunakan kargo yang berlabuh di Pelabuhan Kuantan.

ECRL merupakan projek milik MRL iaitu syarikat berkeperluan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan projek itu.

ECRL yang bermula di Kota Bharu, Kelantan dan tamat di Lembah Klang, Selangor bakal menjadi sebuah infrastruktur nasional yang menghubungkan bandar raya dan bandar-bandar utama serta meningkatkan sistem pengangkutan awam di luar bandar di semua empat negeri dilaluinya.

Pembinaan dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang dengan keseluruhannya melibatkan 20 stesen serta mempunyai 40 terowong dengan jarak melebihi 60km.

Ia menawarkan perkhidmatan keretapi penumpang pada kelajuan 160 km/j dan keretapi kargo dengan kelajuan 80 km/j, yang dapat mengurangkan waktu perjalanan dari Kelantan ke Lembah Klang menjadi sekitar empat jam berbanding tujuh jam menerusi jalan darat, yang boleh mencecah 12 jam pada musim perayaan.