KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga dengan rakan strategik seperti Russia dan Turkmenistan, sambil memastikan syarikat tempatan kekal mematuhi obligasi antarabangsa serta memahami risiko berkaitan sekatan, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata pendekatan Malaysia dipandu oleh keperluan untuk mengimbangi kepentingan negara, pragmatisme ekonomi dan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa.
“Bagi pendapat saya, melihat kepada pengaturan yang sedang kita lalui, kita pasti perlu mengimbangi beberapa perkara. Pertama, kita perlu memelihara kepentingan negara kita.
“Kedua, kita perlu cukup pragmatik dari segi mengurus ekonomi kita dan ketiga, kita tidak boleh lari daripada mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Akmal Nasrullah berkata demikian ketika ditanya sama ada penglibatan Malaysia yang lebih mendalam dengan bidang kuasa geopolitik sensitif boleh merumitkan aspek pembiayaan, insurans, penyelesaian pembayaran atau akses kepada teknologi bagi syarikat Malaysia.
Pada Mei 2026, Amerika Syarikat mengumumkan lanjutan pengecualian sekatan selama 30 hari kepada negara yang membeli minyak dan produk petroleum Rusia yang sudah dimuatkan ke atas kapal tangki di laut, susulan konflik di Asia Barat yang mengganggu pasaran tenaga global.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, mengumumkan lanjutan pengecualian itu bagi memberi ruang kepada negara yang paling terdedah untuk terus mengakses minyak Rusia yang terkandas di laut buat sementara waktu sehingga 17 Jun.
Akmal Nasrullah berkata kerajaan akan terus memberi penjelasan dan memudah cara pengaturan yang membolehkan syarikat Malaysia merebut peluang di luar negara, sambil terus mematuhi obligasi antarabangsa.
Beliau menambah, syarikat juga perlu menyedari sepenuhnya risiko sekatan serta kepentingan pematuhan apabila beroperasi dalam persekitaran sedemikian.
“Dari segi memberitahu syarikat Malaysia mengenai keperluan untuk benar-benar mematuhi dan pada masa sama memahami risiko sekatan, saya berpendapat ia adalah langkah perlu untuk mereka terlibat sama,” katanya.
Akmal Nasrullah menegaskan Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa, termasuk Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) dan keperluan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), sebagai sebahagian daripada usaha mengurus risiko berkaitan perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
Ketika ditanya sama ada pendirian berkecuali sahaja mencukupi untuk melindungi syarikat Malaysia daripada potensi risiko sekatan, beliau berkata kalangan perniagaan perlu melihat lebih jauh daripada sekadar mengenal pasti peluang komersial, sebaliknya memberi penekanan sama terhadap aspek pematuhan dan pengurusan risiko.
“Mengetahui peluang sahaja tidak mencukupi, tetapi kita juga perlu benar-benar melihat dari segi pematuhan juga.
“Di situlah Malaysia boleh mengekalkan sikap berkecualinya. Tetapi pada masa sama, ia tidak bermakna kita dihalang daripada meningkatkan hubungan kita dengan pihak-pihak tertentu,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata hubungan Malaysia dengan Russia dan Turkmenistan bukan sesuatu yang baharu, sambil menegaskan hubungan diplomatik dengan Rusia sudah menjangkau lebih lima dekad, manakala Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pula beroperasi di Turkmenistan sejak 1996.
Beliau berkata kerjasama dalam sektor tenaga perlu dilihat dari sudut daya tahan dan kepelbagaian, bukan semata-mata daripada perspektif bekalan yang sempit.
“Kita perlu melihat daripada konteks daya tahan, iaitu bagaimana kita boleh membangunkannya melalui kepelbagaian,” katanya.
Akmal Nasrullah adalah sebahagian daripada delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam lawatan kerja ke Russia dan Turkmenistan baru-baru ini bagi mengadakan perbincangan berhubung usaha memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang Malaysia.
Beliau berkata keselamatan tenaga jangka panjang kekal menjadi pertimbangan utama ketika Malaysia meneruskan agenda peralihan tenaga dan mencari bekalan gas yang boleh dipercayai bagi menyokong keperluan tenaga pada masa depan.
Menurutnya, Rusia turut memberi jaminan dan menunjukkan kesediaan untuk komited terhadap bekalan tenaga jangka panjang kepada Malaysia, sekali gus memberi kelegaan besar kepada negara dalam merancang keselamatan tenaga.
“Ia bukan sekadar untuk mendapatkan bekalan, tetapi kita perlu menjamin bekalan elektrik kita dan sebagainya. Dan semestinya, memandangkan kita komited terhadap peralihan tenaga dengan komitmen untuk tidak membina mana-mana loji jana kuasa arang batu baharu, ini bermakna kita memerlukan lebih banyak gas,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata jaminan bekalan amat penting bagi memastikan Malaysia dapat memenuhi tahap minimum permintaan elektrik, sekali gus menjamin sistem tenaga dan keselamatan tenaga negara secara berterusan.
Dalam perbincangan berkenaan, Russia turut memberi jaminan kepada Malaysia mengenai bekalan minyak, gas dan diesel untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang.
Anwar berkata Presiden Russia, Vladimir Putin, menzahirkan komitmen itu semasa pertemuan di Kazan, sekali gus mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara dalam lawatan rasmi beliau ke Rusia baru-baru ini.– BERNAMA
