Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan cinta yang dibina bersama isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, terus kekal dan menjadi tiang seri kepada anak dan cucu mereka.

Itu titipan istimewa Perdana Menteri yang mahu semangat dan perjuangan Wan Azizah diteruskan demi anak bangsa, sempena ulang tahun kelahiran wanita itu ke-71, hari ini.

Dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai pemimpin negara, Anwar masih sempat menitipkan ucapan istimewa sempena hari kelahiran isterinya itu.

Harapan Perdana Menteri buat isterinya tercinta ialah mereka sama-sama terus berjuang sebaik mungkin dalam menterjemahkan fikrah Madani dengan memantapkan ekonomi dan memperkasa rakyat.

“Selamat ulang tahun kelahiran buat nona tercinta Dr Wan Azizah Wan Ismail. Semoga cinta ini terus kekal dan terus menjadi tiang seri kepada anak-anak dan cucu.

“Perjuangan masih panjang tatkala kita sedang berusaha sebaik mungkin menterjemah fikrah Madani dengan memantapkan ekonomi dan memperkasa rakyat. Semangat dan daya juangmu mesti terus membakar demi anak bangsa,” katanya di media sosial.

Wan Azizah dilahirkan pada 3 Disember 1952 di Hospital Kandang Kerbau, Singapura dan melangsungkan perkahwinan bersama Anwar pada Februari 1980.-BH Online