Sorting by

×

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH, yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan enggan mahu menyertai mana-mana ‘cai’ atau kumpulan kepuakan menjelang Pemilihan Jawatankuasa Nasional AMANAH yang akan berlangsung bulan ini.

Beliau berkata, budaya cai wajib atau memilih pimpinan secara berpuak atau kelompok yang diumpamakan sebagai wabak penyakit serta musibah yang sering berlaku menjelang pemilihan mana-mana parti, wajib ditentang kerana perkara itu dipersoalkan di akhirat kelak.

Katanya, budaya cai juga berlawanan dengan konsep ‘rahmatan lil alamin’ atau rahmat buat sekalian alam yang menjadi slogan parti AMANAH sekali gus berlawanan dengan akhlak, adab dan integriti.

“Soal memilih pemimpin bukan benda main-main kerana dalam apa jua yang kita lakukan, di sana (akhirat) akan ada perhitungan dosa dan pahala, syurga serta neraka. Jadi sebab itu kena tengok betul-betul dan pilih pemimpin berdasarkan kepada merit berupa kemampuan, kebolehan, integriti, gerak-kerja, dan sumbangan kepada parti.

“Kalau perwakilan di seluruh negara merasakan saya perlu untuk duduk sekali lagi dalam Jawatankuasa Pimpinan peringkat nasional, pilihlah saya berdasarkan kepada merit. Saya tak mahu dipilih berdasarkan kepada ‘cai’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Perak 2023 di MU Hotel, di sini hari ini.

Hadir sama Naib Pengerusi AMANAH Perak, Dr Fakhruldin Mohd Hashim; Pengarah Komunikasi AMANAH Perak, Azhar Rahman dan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim.

Dalam perkembangan lain, Sany berkata AMANAH sudah menghantar sekurang-kurangnya dua nama sebagai calon jawatan menteri bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) namun ia terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menentukannya.

“Itu hak Perdana Menteri yang kita pun tak tahu bila tarikhnya (rombakan Kabinet) dan mungkin, jika kita hanya melihat dengan dua biji mata namun Perdana Menteri melihat dengan 100 biji mata untuk meneliti kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan menteri KPDN itu.

“Sebenarnya bukan senang untuk duduk di kementerian itu sebab ia berkaitan dengan soal makanan, dan barangan yang setiap hari kementerian ini perlu ‘menjaga’ soal berkaitan makanan dan keperluan 33 juta rakyat negara ini,” katanya.

Menteri KPDN sebelum ini yang juga Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah pada 23 Julai lalu selepas disahkan mengalami pendarahan otak.

Portfolio kementerian itu kini dipangku oleh Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) iaitu Datuk Armizan Mohd Ali.

Pada 24 November lalu, media melaporkan Anwar ketika ditemui pemberita selepas solat Jumaat dan makan tengah hari di Surau Al Furqan, Presint 11, Putrajaya mengesahkan sudah mempunyai calon menteri yang akan menerajui KPDN dengan portfolio berkenaan akan diisi secepat mungkin, tidak lama lagi.-BH Online