KUALA LUMPUR: Gangguan rantaian bekalan global yang meningkatkan kos operasi dan memberi tekanan kepada perniagaan perlu dilihat bukan hanya sebagai risiko kepada ekonomi negara, malah peluang untuk Malaysia memperkukuh kapasiti domestik dan meningkatkan daya tahan ekonominya.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata keadaan ketika ini juga membuka ruang untuk memperkukuh kapasiti negara, mempelbagaikan sumber bekalan, membuka pasaran baharu dan menarik pelaburan berkualiti.
Beliau berkata, kerajaan akan terus menggunakan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai wahana utama penyelarasan dasar rentas kementerian supaya setiap risiko ditangani secara tersusun dan setiap peluang dinilai secara strategik.
“Kita bukan saja mahu mengurus krisis yang sedang berlaku. Kita mahu memastikan Malaysia keluar daripada episod ini sebagai ekonomi yang lebih bersedia, lebih berdaya tahan dan lebih berupaya memanfaatkan perubahan dalam ekonomi global.
“Krisis ini bukan semata-mata soal harga minyak. Ia adalah ujian kepada daya tahan ekonomi negara daripada bekalan, harga dan kos perniagaan, kepada pekerjaan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru itu MTEN akan menjadi platform utama kerajaan menyelaras tindakan merentas kementerian dan agensi dengan meningkatkan kekerapan mesyuarat mengikut keperluan, mempercepat pelaksanaan keputusan oleh kementerian dan agensi serta terus mengenal pasti langkah baharu berdasarkan perkembangan semasa,” katanya ketika Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung di platform media sosial, hari ini.
Akmal berkata, berdasarkan penilaian Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sekitar lima peratus pada 2026, manakala inflasi keseluruhan dijangka berada dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus.
Beliau berkata, ia menunjukkan asas ekonomi negara masih berdaya tahan walaupun ketidaktentuan luaran kekal tinggi.
BNM katanya turut menunjukkan bahawa ekonomi global sedang menyesuaikan diri terhadap gangguan bekalan minyak melalui pelepasan rizab strategik, penggunaan sumber bekalan alternatif dan penyesuaian permintaan.
“Kesan kepada ekonomi tidak sama bagi semua sektor. Sektor yang mempunyai kebergantungan lebih tinggi kepada input dari rantau Teluk lebih terdedah kepada gangguan bekalan dan kejutan kos.
“Antara input yang masih dipantau ialah petroleum, bahan api, plastik, nafta, bahan kimia dan baja, yang mempunyai kaitan langsung dengan sektor pembuatan, pengangkutan dan pertanian.
“Dapatan BNM juga menunjukkan kebanyakan firma masih memperoleh bahan mentah yang diperlukan dan sebahagiannya telah beralih kepada sumber alternatif.
“Namun, kos operasi dan keperluan modal kerja semakin meningkat. Tekanan ini lebih ketara kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya dari segi kecairan dan kebergantungan kepada pembiayaan jangka pendek bagi memastikan operasi terus berjalan.
“Justeru itu pemantauan kerajaan akan sentiasa memberi perhatian kepada sektor yang paling terdedah dan keupayaan PKS menyerap tekanan kos,” katanya.
Akmal berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut mengenal pasti 52 langkah intervensi serta peluang ekonomi dalam bidang pelaburan, perdagangan dan pasaran modal untuk dipertimbangkan kerajaan.
Beliau berkata, antara cadangan utama ialah memposisikan Malaysia sebagai ‘World+1’, iaitu destinasi pelaburan dan perdagangan yang stabil, neutral dan selamat, khususnya bagi sektor yang sedang melaksanakan strategi nyah risiko.
Antara sektor yang diberi fokus katanya termasuk elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, aeroangkasa dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), peranti perubatan, automasi, tenaga hijau serta mineral kritikal.
Selain itu katanya, peranan Malaysia perlu diperkukuh sebagai hab logistik udara dan multimodal bagi industri semikonduktor, termasuk meneroka pembangunan hab kargo udara di Pulau Pinang, Senai dan KLIA Aeropolis.
“Dari sudut perdagangan pula, sebanyak 36 pasaran berpotensi dikenal pasti, termasuk 23 pasaran baharu, selain peluang dalam sektor minyak dan gas (O&G), pembinaan serta aktiviti pembinaan semula di Asia Barat.
“MTEN bersetuju supaya kementerian berkaitan menilai cadangan ini berdasarkan keutamaan, daya maju dan kesesuaian pelaksanaannya.
“Apa yang penting ialah setiap peluang mesti diterjemahkan kepada pelaburan yang berkualiti, pasaran yang lebih luas dan manfaat yang nyata kepada syarikat serta pekerja Malaysia,” katanya. -BH Online
