KUALA LUMPUR: Pengguna domestik Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini boleh menikmati penjimatan bil elektrik sehingga RM47 sebulan atau 13 peratus susulan peluasan tahap perlindungan daripada 600 kilowatt/jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan, bermula bulan ini.
Sebagai contoh, bil elektrik pengguna yang menggunakan 800 kWj pada bulan lalu sebanyak RM375.85, namun dengan peluasan perlindungan bermula bulan ini, penggunaan yang sama dikenakan caj bil elektrik sebanyak RM328.60, iaitu penjimatan sebanyak RM47.25.
Peluasan perlindungan itu juga akan membabitkan lebih sejuta pengguna tambahan, menjadikan keseluruhan kira-kira 90 peratus atau lebih lapan juta pengguna domestik TNB kini dilindungi. null
Pengguna yang menggunakan sehingga 800 kWh sebulan akan dikecualikan daripada caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), cukai jualan dan perkhidmatan dan caj peruncitan RM10 sebulan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad, berkata langkah itu dijangka membantu lebih ramai pengguna mengawal bil elektrik dan mengurangkan beban mereka ketika penggunaan tenaga meningkat.
“Dengan peningkatan ambang perlindungan kepada 800 kWh, pengguna kini tidak lagi perlu membayar tiga komponen itu, sekali gus membolehkan bil berkurang sekitar RM47 sebulan atau 13 peratus berdasarkan contoh pengiraan TNB,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.
Shamsul berkata, sebelum ini, kira-kira 85 peratus pengguna domestik menggunakan elektrik di bawah 600 kWj sebulan pada awal tahun, sekali gus berada dalam zon perlindungan.
Bagaimanapun katanya, jumlah itu kemudian menurun kepada kira-kira 80 peratus apabila sebahagian daripada mereka meningkatkan penggunaan sehingga melepasi paras 600 kWj.
“Antara faktor yang dikenal pasti TNB menyumbang kepada peningkatan penggunaan ialah suhu harian lebih tinggi, bekerja dari rumah dan musim perayaan.
“Suhu lebih tinggi juga boleh meningkatkan penggunaan elektrik pendingin hawa kerana sistem berkenaan perlu bekerja lebih kuat untuk mengekalkan suhu yang ditetapkan,” katanya.
Bagi penggunaan antara 801 kWj hingga 1,000 kWj pula, tiga komponen berkenaan tidak lagi dikecualikan, manakala insentif kecekapan tenaga turut berkurangan.
Pengguna dengan penggunaan melebihi 1,000 kWj sebulan pula perlu membayar kadar sebenar tanpa pengecualian dan tidak lagi menikmati insentif kecekapan tenaga.
Beliau berkata, kumpulan yang menggunakan lebih 1,000 kWj sebulan adalah kecil, dianggarkan hanya kira-kira satu peratus daripada keseluruhan pengguna.
Dalam pada itu, Shamsul berkata, TNB komited untuk menyerap kos AFA walaupun jumlahnya melebihi anggaran RM150 juta, sekiranya harga arang batu meningkat lebih tinggi daripada jangkaan.
Katanya, angka RM150 juta itu ketika ini anggaran berdasarkan senario terburuk, termasuk mengambil kira kemungkinan harga arang batu meningkat melebihi paras yang diunjurkan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan TNB akan tetap memenuhi komitmen yang dibuat sekiranya kos sebenar melebihi anggaran berkenaan.
“Kita kena serap. Kita sudah membuat komitmen dan akan memenuhi komitmen itu,” katanya.
Beliau berkata, TNB bersama kerajaan serta bantuan Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan menyerap kesan AFA bagi tempoh September hingga Disember bagi mengurangkan impaknya kepada pengguna. -BH Online
