Malaysia komited untuk bekerjasama dengan Monaco bagi menjalin perkongsian lebih kukuh ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, berikutan itu, adalah penting bagi Malaysia dan Monaco untuk meneruskan libat urus bersama di semua peringkat, khususnya dalam mengembangkan prospek perniagaan.
“Pada masa sama, kedua-dua negara juga perlu mengurangkan dinamik geopolitik global dan memanfaatkan hubungan dua hala yang baik serta dipupuk di bawah kepimpinan dinamik kedua-dua negara,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Monaco 2023 pada Isnin.
Tengku Zafrul turut menegaskan pendirian Malaysia sebagai sebuah negara yang pro atau mesra perniagaan, pelabur dan perdagangan.
“Kita menekankan aspek kepastian yang jelas, kewibawaan, kecekapan dan ketelusan dalam dasar serta penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Forum berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Konsul Kehormat Monaco di Kuala Lumpur bersempena lawatan negara pertama Putera Albert II ke Malaysia pada 26-29 November.
Kunjungan itu turut menekankan kepentingan langkah diplomatik serta bukti sentimen optimis yang terus ketara bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Sementara itu, pada majlis sama, Kelab Kapal Layar Yacht Club de Monaco dan Kelab Kapal Layar Diraja Selangor (RYSC) mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).
RYSC adalah di bawah Naungan Diraja Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah manakala Putera Albert II merupakan Presiden Kelab Kapal Layar Monaco. – Bernama