Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 (dengan pindaan pada peringkat Jawatankuasa Majlis), dengan lebih suara bersetuju.

RUU itu yang bertujuan meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 meliputi Fasal Satu hingga Lima, sebelum ini dibentangkan untuk bacaan kali kedua tetapi ditangguh bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas meminda Fasal 2 Seksyen 6 Akta 533 dalam pelantikan serta pemberhentian wakil dari Sabah dan Sarawak yang perlu dirujuk kepada Ketua Menteri Sabah serta Premier Sarawak.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menggulung perbahasan RUU terbabit berkata, ketika beliau membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat sebelum ini, tiada perkataan berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak dalam perkara berkenaan.

“Namun dalam pembentangan di Dewan Rakyat, pihak daripada Sabah serta Sarawak… Ahli Parlimen telah mengemukakan pandangan supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Kewangan dan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar.

“Saya telah membuat keputusan pada ketika itu supaya kita memberhentikan proses (menangguhkannya) supaya dapat dibentangkan semula selepas diperhalusi,” katanya pada sesi persidangan Dewan Negara.

Menjelaskan lanjut, Ahmad berkata, Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, serta memanggil beberapa Ahli Parlimen lain untuk membuat pindaan terhadap RUU itu.

“Dokumen itu sudah dibawa semula ke Kabinet dan dibentangkan semula, baru-baru ini.

“Ia diterima baik oleh Ahli Parlimen kerana kita menerima usul mereka supaya memasukkan perkataan berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak,” katanya.

Persidangan Dewan Negara akan bersambung esok. – BERNAMA