Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Isu pendidikan masyarakat Orang Asli di perkampungan Orang Asli Sungai Pergam di sini antara yang akan diperjuangkan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor jika dipilih menjadi Ahli Parlimen Kemaman.

Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berkata beliau mahu menambah nilai tahap pendidikan dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Katanya, aspek pengurusan, pembangunan modal insan, usahawan dan pelaksanaan projek pembangunan ekonomi juga akan diberi perhatian sewajarnya, supaya seiring dengan hasrat kerajaan memastikan kesejahteraan hidup rakyat tanpa tiada yang terpinggir.

“Kerajaan Perpaduan sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli supaya setanding kaum lain di negara ini.

“Jadi, 300 orang masyarakat Orang Asli daripada suku Semaq Beri dan Jakun yang ada di sini tidak akan diabaikan, malah menjadi keutamaan saya nanti jika terpilih menjadi Ahli Parlimen Kemaman.

“Saya akan bantu untuk menambah nilai tahap pendidikan mereka dan beri peluang kepada saya merealisasikan hasrat itu,” katanya ketika turun padang menyantuni masyarakat Orang Asli di Sungai Pergam di sini.

Untuk rekod, Kampung Sungai Pergam yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar ini adalah satu-satunya perkampungan Orang Asli di daerah Kemaman, selain perkampungan Orang Asli Sungai Berua di Daerah Hulu Terengganu.-BH Online