Sorting by

×

Banjir di Terengganu semakin pulih dengan 225 penduduk daripada 49 keluarga ditempatkan di lima PPS di empat daerah setakat 8 pagi ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 112 orang daripada 25 keluarga masih berlindung di sebuah PPS di daerah Besut manakala di Kuala Terengganu, berbaki 54 orang daripada 12 keluarga yang masih ditempatkan di sebuah PPS.

Selain itu, di Dungun seramai 50 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di dua PPS manakala di Setiu hanya sembilan orang daripada dua keluarga masih berada di PPS SK Kampung Rhu Sepuluh.

Sementara itu, paras air sungai di stesen-stesen utama negeri ini berada pada paras normal kecuali Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus yang mencapai tahap waspada dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman yang mencecah tahap amaran.

Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan terus meningkat manakala Terengganu menunjukkan penurunan dan Selangor tidak berubah, setakat pagi ini.

Sementara itu di Kelantan, jumlah penduduk terjejas banjir meningkat sedikit kepada 718 orang daripada 204 keluarga sehingga 8 pagi ini berbanding 709 orang daripada 201 keluarga malam semalam.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat PPS dibuka melibatkan dua jajahan iaitu di Pasir Mas menempatkan 232 orang daripada 79 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan 65 orang daripada 19 keluarga masih berlindung di PPS Kedai Tanjong.

Di jajahan Bachok pula, seramai 67 orang daripada 16 keluarga berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, manakala 354 orang daripada 90 keluarga berada di SK Jelawat.

Menurut portal Info Bencana JKM, dua PPS tersebut adalah Balai Raya Rantau Panjang membabitkan 47 orang dan PPS Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz yang menempatkan 36 orang.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir kekal seperti semalam dengan 83 orang daripada 29 keluarga di daerah Kuala Selangor yang ditempatkan di dua PPS setakat 8 pagi ini.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor melebihi paras bahaya dengan ketinggian air 27.63 meter, namun dalam trend menurun setakat 8 pagi.

Tiga sungai di Selangor kini pada tahap waspada membabitkan Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor dengan ketinggian aras air 18.27 meter dan Sungai Langat di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sungai Manggis di Kuala Langat (2.5 meter) dengan kedua-dua aras sungai itu dalam trend menaik, manakala Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor pada ketinggian 7.09 meter dalam trend menurun. – FMT