Sorting by

×

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan spekulasi pihak tertentu yang mendakwa UMNO Sabah kini berpecah kepada dua kumpulan.

Beliau menyifatkan spekulasi itu sengaja dimainkan pihak terbabit untuk memecah belah kesatuan dalam UMNO Sabah demi kepentingan politik mereka.

Sebaliknya, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah kekal sebuah parti yang kuat dengan disokong semua pemimpin dan ahlinya di seluruh negeri.

Katanya, jika adapun kumpulan dalam UMNO Sabah, ia bukan kerana berbecah, sebaliknya diwujudkan untuk melaksanakan tugas tertentu demi kepentingan parti.

“Memang UMNO Sabah ada beberapa kumpulan, tapi bukannya berpecah dari segi kepemimpinan. Kita ada beberapa kumpulan pemikir yang akan merangka pelan strategi berkesan bagi memenangi hati rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian sebagai mengulas andaian pihak tertentu kononnya pemimpin UMNO Sabah berpecah selepas sekumpulan wakil rakyatnya dilihat menemui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.

Pertemuan itu dianggap ‘luar biasa’ berikutan hubungan ‘dingin’ UMNO Sabah dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Bung Moktar selaku Ketua UMNO Sabah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Hajiji dan menarik kerjasama dengan GRS pada Januari lalu.

Sebaliknya, Bung Moktar menyifatkan pertemuan itu adalah hak mereka sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat untuk menyampaikan isu yang dihadapi di kawasan masing-masing.

“Mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih oleh rakyat, jadi tidak salah mereka berjumpa Ketua Menteri untuk menyampaikan masalah atau isu yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.

“Jika Ketua Menteri menghormati Kerajaan Perpaduan, beliau perlu memberi ruang untuk bertemu dan mendengar keluh kesah rakyat terutamanya ADUN dari UMNO yang ketika ini di Sabah diletakkan seperti ADUN pembangkang,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar mengingatkan ahli UMNO Sabah supaya tidak terpengaruh dengan sentiman pihak tertentu yang sengaja menularkan di media sosial kononnya parti itu berpecah.

Katanya, perkara itu dilakukan sebagai satu perang psikologi dan propaganda yang dijadikan strategi pihak lawan untuk memecah belahkan kesatuan dalam UMNO Sabah.

Berdasarkan gambar tular di media sosial baru-baru ini, antara ADUN UMNO Sabah yang dilihat dalam pertemuan dengan Hajiji di sebuah restoran di Tuaran itu ialah Datuk Seri Salleh Said Keruak (Usukan), Datuk Raimie Unggi (ADUN Dilantik), Datuk Yakub Khan (Karambunai) dan Mohd Tamin Zainal (Pantai Manis).-BH Online