Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan melalui agensi berkaitan akan membantu dan memastikan hak serta tanggungjawab rakyat untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dapat ditunaikan meskipun berlakunya bencana banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata 83 lokasi di Parlimen Kemaman telah didaftarkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan daripada jumlah itu, 18 PPS diwartakan sebagai pusat mengundi.

Sehubungan itu katanya semua agensi termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kemaman, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan bekerjasama dan menyelaraskan tugas masing-masing bagi melancarkan proses pengundian PRK Kemaman, 2 Dis ini.

“Pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) juga memaklumkan mereka akan mengguna pakai SOP (Prosedur Operasi Standard) Bencana yang dibuat untuk Pilihan Raya Umum ke-15, November tahun lepas, jadi SOP sama akan digunakan pada PRK kali ini sekiranya berlaku banjir.

“Semua agensi akan bekerjasama dengan rapat untuk menyelaraskan proses pengundian nanti sekiranya banjir,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Atas Tol, di sini, hari ini.

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berdepan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.-Bernama