Sorting by

×

Parti komponen Pakatan Harapan (PH) akan bersama-sama menjadi tunjang utama dalam membantu calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merampas kembali kubu kuat UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata PH mempunyai keyakinan bahawa perubahan itu boleh tercetus pada PRK Kemaman, sekali gus mewujudkan wakil daripada Terengganu di blok kerajaan.

“Kita yakin perubahan bermula di Terengganu dan ombak di Kemaman ni akan sampai ke Besut dan BN yang sedang membina kekuatan semula akan terus kuat…insya-Allah orang Melayu akan yakin dengan perjuangan UMNO dan kami akan membantu, daripada PKR, PH akan bantu kekuatan utama untuk pulihkan Terengganu.

Saya yakin Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kita kekal memerintah Kerajaan Perpaduan…kita mahu kerajaan kita teguh, kita mahu di negeri Melayu ini ada wakil rakyat di peringkat Parlimen…kita mahu salah satu yang duduk belah kita ini daripada Ahli Parlimen Kemaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu majlis ceramah sempena kempen PRK Kemaman di Seberang Tayor, Kijal dekat sini, malam ini.

Pada PRK itu, Raja Mohamed Affandi berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 Nov ini bagi pengundian awal dan 2 Dis sebagai hari mengundi.-Bernama