Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Israel dan Hamas membuat pengumuman bahawa kedua-duanya bersetuju bagi gencatan senjata selama empat hari yang melibatkan pembebasan sekumpulan tebusan yang ditahan pada 7 Okt.

Kabinet Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu meluluskan perjanjian itu selepas mesyuarat semalaman, di mana beliau memberitahu menteri bahawa ia adalah “keputusan yang sukar tetapi tepat.”

Jurucakap kerajaan memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya 50 tebusan Israel dan warga asing akan dibebaskan yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, sebagai balasan untuk “tenang” selama empat hari dalam operasi ketenteraan di bawah perjanjian itu.Untuk setiap 10 tebusan tambahan yang dibebaskan, akan ada tambahan hari gencatan senjata.

Hamas mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan “gencatan senjata kemanusiaan”, yang dikatakan juga akan menyaksikan 150 rakyat Palestin dibebaskan dari penjara Israel.

Gencatan senjata itu membolehkan penduduk Gaza untuk bertenang seketika selepas hampir tujuh minggu menghadapi perang.

Sumber dari Hamas dan Jihad Islam, sebuah lagi kumpulan Palestin, sebelum ini memberitahu AFP bahawa gencatan senjata itu akan merangkumi gencatan senjata sepenuhnya di lapangan dan ruang udara Israel di selatan Gaza.

Kelulusan Kabinet Israel adalah salah satu penghalang terakhir kepada perjanjian yang akan berkuat kuasa.

Qatar telah membantu bagi menjadi perantara rundingan. – AFP