Perdana Menteri Belanda Mark Rutte akan melakukan lawatan kerja ke Malaysia mulai Selasa (31 Okt) hingga 1 Nov, lawatan kedua beliau ke negara ini sejak 2014.
Semasa lawatan itu, Rutte dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Nov, dengan kedua-dua pemimpin dijangkakan menilai semula kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pertukaran budaya, minyak sawit, pertanian dan komoditi pertanian.
“Ini termasuk menangani isu Islamofobia serta meneroka bidang kerjasama baharu yang berpotensi.
“Semasa rundingan itu, kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Rutte turut akan diraikan dalam satu jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri,” menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).
Rutte akan diiringi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Asing, pegawai kanan kerajaan dan delegasi perniagaan.
Menurut Wisma Putra, Rutte turut dijadual bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof dan terlibat dalam acara menanam pokok sawit sebagai simbolik kepada kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam sektor minyak sawit.
Rutte juga akan menyampaikan ucaptama dan menyertai sesi dialog bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA), Nik Nazmi Nik Ahmad pada Dialog Air Malaysia-Belanda kali keenam.
“Dialog Air itu acara tahunan anjuran bersama KeTSA dan Kedutaan Belanda di Kuala Lumpur yang berperanan sebagai platform untuk pakar menangani pelbagai isu berkaitan air,” menurut kenyataan itu.
Belanda merupakan rakan dagangan ke-14 terbesar Malaysia di dunia dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada 2022, dengan jumlah dagangan bernilai RM48.04 bilion (US$10.93 bilion) – meningkat 33.4 peratus berbanding RM36 .01 bilion (US$8.68 bilion) pada 2021.
Belanda juga pengimport minyak sawit terbesar dalam kalangan negara EU pada 2022 iaitu sebanyak 732,324.54 tan.
“Diharap Belanda akan terus meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia dan menyokong usaha Malaysia dalam mempromosikan pengeluaran minyak sawit mampan serta menangani persepsi negatif terhadap minyak sawit.
“Kementerian Luar yakin lawatan itu akan memperkukuh lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.-Bernama