Sorting by

×

Lebih RM300 juta diperuntukkan setiap tahun bagi agihan zakat kepada asnaf, fakir dan miskin di Selangor.

Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Md. Yusmizan Yusof berkata, ini meliputi bantuan kewangan bulanan lebih RM200 juta dan selebihnya adalah untuk bantuan perubatan dan diaisis.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan 12,000 asnaf baharu dengan hampir 10,000 telah disantuni menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk skuad jejak kemiskinan yang diwujudkan di setiap masjid dan daerah di Selangor.

“Kita juga mempunyai 1,800 penolong amil kariah yang turut membantu mencari asnaf ini sama ada di bandar atau luar bandar agar tiada sesiapa tercicir,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan LZS kepada lima bekas kakitangan TV3, di sini hari ini.

Jelas beliau, pelbagai faktor menjadi penyebab seseorang itu menjadi asnaf antaranya dibuang kerja dan tahap kesihatan mereka yang menurun.

“Kita akan semak bagi menentukan mereka yang layak menerima bantuan LZS dengan had kifayah sebanyak RM2,990. Sekiranya layak, kita akan menyalurkannya bantuan asas termasuk kewangan dan tempat tinggal,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Norehan Mohd. Sani, 60, mengakui terharu dan dapat membantunya dalam kelangsungan hidup terutama selepas bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Kaki kanan saya terpaksa dipotong dari bawah lutut pada tahun lalu selepas menghidap kencing manis dengan pergerakan kini banyak bergantung kepada kerusi roda.

“Syukur Alhamdulillah, orang masih menyayangi kita. Ini adalah terapi terbaik dalam menaikkan semula semangat saya untuk berjuang dalam hidup selepas berhenti kerja pada tahun 2007,” ujarnya. -Kosmo Online