KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menzahirkan penghargaan kepada warga jururawat, dengan menyifatkan kerjaya itu sebagai bidang mulia yang menuntut pengorbanan, kekuatan jiwa serta ketulusan hati luar biasa.
Menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia hari ini, Perdana Menteri berkata, jasa warga jururawat sering tidak terungkap dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka amat bernilai buat rakyat dan negara.
“Sejak lahir ke dunia, antara yang terawal menyambut dan menjaga kita ialah para jururawat. Mereka ada tatkala ibu menahan sakit melahirkan kita, ada mendengar tangisan pertama kita, menjaga ketika kita diuji sakit, dan terus setia berkhidmat menjaga hingga ke penghujung usia kita,” katanya.
Perdana Menteri berkata ,dalam perjalanan hidup, hampir setiap individu pernah merasai sentuhan ihsan jururawat yang menjadi penenang ketika pesakit sedang menahan derita, memujuk anak kecil yang ketakutan serta memberi kekuatan kepada keluarga dalam keadaan cemas.
Beliau berkata, dalam banyak keadaan, jururawat adalah insan yang paling dekat serta memahami keadaan pesakit selain pengalaman dan ketelitian mereka menjadi tonggak penting membantu doktor memberikan rawatan terbaik.
“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Selamat Hari Jururawat Sedunia,” kata Perdana Menteri.
Hari Jururawat Sedunia disambut pada 12 Mei setiap tahun bagi menghargai sumbangan golongan berkenaan kepada masyarakat di seluruh dunia.-BH Online
