Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Landskap ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan merentas sempadan menuntut perubahan segera dalam pendekatan kepolisan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata jenayah masa kini tidak lagi terhad kepada bentuk konvensional, sebaliknya berkembang kepada jenayah siber yang lebih rumit, penipuan kewangan digital serta kegiatan sindiket terancang yang mampu menggugat kedaulatan negara.

“Pada tahun ini, Dialog Khas PDRM mengangkat tema Kepolisan Bersepadu: Menjamin Masa Depan Bersama dan ia amat signifikan dan tepat pada masanya memandangkan landskap ancaman keselamatan masa kini yang bersifat dinamik, rentas sempadan dan semakin rencam.

“Justeru, paradigma kepolisan moden harus segera berganjak ke arah integrasi teknologi dan perkongsian maklumat yang lebih holistik bagi memastikan kita sentiasa selangkah di hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) edisi ke-5 (PSD V), di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail. 

Mengulas mengenai dialog berkenaan, Shamsul Anuar berkata sepanjang dua hari penganjuran, sebanyak 31 sesi meliputi forum, bengkel teknikal dan pameran diadakan bagi membincangkan penyelesaian terhadap isu keselamatan termasuk maritim, narkotik dan inovasi penguatkuasaan.

Katanya, penyertaan lebih 3,000 peserta termasuk 200 delegasi kenamaan serta 135 syarikat tempatan dan antarabangsa membuktikan PSD V sebagai platform strategik dalam memperkukuh kolaborasi operasi serta pembangunan dasar keselamatan di peringkat serantau.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan Memorandum Perjanjian (MoA) antara PDRM dan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang sains forensik sebagai satu mercu tanda penting.

Katanya, kerjasama akademik dan industri itu mampu meningkatkan kompetensi teknikal serta kepakaran forensik warga PDRM, sekali gus memperkukuh kualiti penyiasatan dan pembuktian kes jenayah ke tahap standard global.

“Dengan sokongan penyelidikan bertaraf universiti, saya yakin kualiti penyiasatan dan pembuktian kes-kes jenayah di negara ini akan mencapai standard global yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata, program dialog keselamatan itu menjadi antara usaha penting untuk memperkukuhkan mutu perkhidmatan dan keupayaan siasatan pasukan polis.

Katanya, pembabitan kali ini turut membabitkan pelbagai jabatan dalam PDRM bagi memastikan kerjasama lebih menyeluruh dapat dilaksanakan dalam menangani isu keselamatan.

“Sebelum ini mungkin banyak dilakukan secara bersendirian, namun tahun ini kita babitkan pelbagai jabatan termasuk trafik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan jabatan berkepentingan lain supaya segala siasatan berkaitan isu keselamatan dapat disinergikan secara menyeluruh,” katanya.-BH Online