KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan kewujudan rangkaian pengedaran dadah di Langkawi yang dipercayai didalangi anggota polis.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata buat masa ini siasatan masih di peringkat awal dan pihaknya belum dapat mendedahkan sebarang butiran lanjut berhubung individu atau kumpulan yang didakwa.
“Mengenai isu itu, kita masih lagi dalam siasatan. Saya perlu pastikan siapakah yang terbabit, individu yang berkaitan ataupun mana-mana kumpulan. Jadi kita tak dapat nak komen buat masa ini.
“Tetapi kita tidak akan berkompromi berkaitan isu ini,” katanya kepada media selepas menghadiri PDRM Special Dialogue Edisi ke-5 2026, di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada kes itu akan disiasat di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Mohd Khalid berkata, siasatan itu adalah di bawah keselamatan undang-undang negara.
“Kalau ia berkaitan dengan undang-undang, keselamatan dan sebagainya kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, media tempatan mendedahkan kini muncul semula satu rangkaian pengedaran dadah yang beroperasi secara tersusun di sekitar kepulauan itu yang didalangi seorang anggota polis dikenali ‘Mr A’.
Malah, konconya juga dipercayai individu sama sebelum ini yang menjadi ahli sindiket Pablo Escobar Langkawi, Mat Nahar yang meninggal dunia enam tahun lalu.
Kewujudan sindiket itu menyebabkan masalah dadah di pulau peranginan terkemuka itu tidak pernah selesai walaupun pelbagai operasi dijalankan polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dengan Langkawi terus mencatatkan bilangan penagih yang ramai.
Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata, pihak polis sentiasa berusaha untuk membanteras isu dadah di negara ini.
“Pada tahun ini sahaja pelbagai rampasan secara besar-besaran dilakukan oleh PDRM dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin,” katanya.-BH Online
