Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) yang akan dilancarkan bermula tahun depan meletakkan nilai sasaran jualan RM100 bilion menjelang 2030.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dasar itu juga dilaksana bukan setakat memastikan produk francais Malaysia berjaya menembusi negara luar, tetapi memperkenal satu jenama francais yang boleh menjadi pilihan di banyak negara.

“Sebab itu kita sudah bekerjasama dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) bagi menggubal DFN 2030. Draf sudah kita murnikan dalam pelbagai sesi, namun kita melihat keperluan kepada penjajaran DFN 2030 dengan kerangka Ekonomi MADANI.

“(Keperluan itu) khususnya dalam kita membantu hasrat iaitu menaikkan siling ekonomi negara dan lantai ekonomi dalam membantu pertumbuhan ekonomi melalui francais, selain peranan francais yang melihat kepada rakyat, iaitu pembabitan usahawan dan peluang pekerjaan kepada masyarakat,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, dasar itu akan dibentangkan kepada Kabinet pada Disember selepas selesai sesi ‘town hall’ atau dialog awam terakhir yang membabitkan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan.

“Dasar ini dibentang ke Kabinet pada Disember. Sebaik diluluskan, pada suku pertama tahun depan kita dapat lancarkan. Bila kita lancar, ia akan dapat diterima dan digerakkan,” katanya.

Armizan berkata, hasil usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengembangkan lagi industri francais berjaya meningkatkan nilai jualan industri francais yang mencatatkan peningkatan nilai jualan 105.48 peratus iaitu RM30 bilion pada 2021 berbanding RM14.6 bilion pada 2020.

“Hasil pengukuhan industri francais di peringkat domestik, KPDN berjaya mengembangkan industri ini ke peringkat antarabangsa dengan penembusan lebih daripada 70 jenama francais tempatan di 80 negara,” katanya.

Beliau berkata, industri francais di Malaysia sedang berkembang secara dinamik, terdiri daripada gabungan pelbagai francais tempatan dan antarabangsa yang menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang luas.

Katanya, perkembangan mapan industri francais di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah didorong faktor seperti persekitaran perniagaan yang kondusif dan menggalakkan termasuklah sokongan Kerajaan terhadap industri itu melalui pelbagai inisiatif dan insentif.-Berita Harian