KUALA LUMPUR: Pasukan guaman Datuk Seri Najib Razak sedang menunggu arahan susulan perkembangan terkini berhubung permohonan pengampunan diraja yang dibuat bekas perdana menteri itu.
Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, berkata pasukan guaman berkenaan tidak mahu memberikan komen terlalu awal dan berisiko menyampaikan maklumat yang tidak tepat.
“Saya sedang menunggu arahan berhubung perkembangan ini. Saya tidak mahu memberikan sebarang maklumat yang salah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Farhan menambah Messrs Shafee & Co akan mengeluarkan kenyataan sekiranya terdapat sebarang perkembangan yang memerlukan maklum balas.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, hari ini. -BH Online
