KAJANG: Jabatan Penjara Malaysia akan mengeluarkan kenyataan berhubung pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Difahamkan, kenyataan media itu dikeluarkan bagi menjelaskan mengenai perincian lanjut berhubung perkara terbabit.
“Kami (Jabatan Penjara) akan keluarkan kenyataan media (berhubung perkara itu) petang ini,” katanya ringkas.
Terdahulu, media melaporkan Penjara Kajang menjadi tumpuan pengamal media dari dalam dan luar negara berikutan pengumuman Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
BHEUU dalam kenyataan memaklumkan, perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara hari ini.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.-BH Online
