Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 52 anggota bersama sebuah pesawat amfibi Bombardier CL-415MP dan tiga helikopter sedia digerak membantu operasi memadam kebakaran hutan di Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia hanya menunggu persetujuan daripada kerajaan Indonesia sebelum menghulurkan bantuan diperlukan.

Beliau berkata, Malaysia membuat penegasan kepada Indonesia supaya isu jerebu rentas sempadan ditangani secara lebih tersusun supaya tidak berulang saban tahun.

Katanya, perkara itu dinyatakan dalam perbincangan selama 45 minit bersama Wakil Presiden Republik Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, di Istana Wakil Presiden, Jakarta, semalam.

Ahmad Zahid tiba di sini hari ini bagi lawatan kerja empat hari bertujuan memperkukuh kerjasama Malaysia-Indonesia dalam pengurusan bencana termasuk kebakaran hutan dan tanah, selain industri halal serta pembangunan luar bandar.

Dalam pertemuan itu, beliau berkata, kedua-dua negara menyedari jerebu tidak mengenal sempadan dan memberi kesan kepada ruang udara, kesihatan serta kehidupan rakyat negara berjiran.

“Titik penyelesaian bersama perlu menjadi keutamaan. Pendekatan kita perlu bersifat menyeluruh dan terselaras serta merangkumi pencegahan awal, perkongsian maklumat, penyelarasan operasi serta tindakan bersama yang lebih efektif.

“Kita menghargai tindakan Indonesia menggerakkan tambahan 1,500 anggota Tentera Nasional Indonesia dan memperluas operasi pengeboman air di kawasan terjejas.

“Selain itu, Malaysia juga menghargai persetujuan Indonesia membenarkan penggunaan ruang udara di sempadan Kalimantan bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) oleh pihak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Ahmad Zahid turut mengadakan perbincangan dengan Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia, H Yandri Susanto, dan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman Kerjasama Pembangunan Luar Bandar kedua-dua pihak.

“MoU ini memberikan tumpuan kepada pembasmian kemiskinan tegar, peningkatan taraf sosioekonomi dan usaha merapatkan jurang pembangunan masyarakat desa.

“Ia turut menyediakan landasan kepada pembinaan keupayaan, pertukaran kepakaran, perkongsian amalan terbaik dan pembangunan modal insan secara lebih sistematik,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengadakan perbincangan dengan Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia, H Yandri Susanto, dan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (Mou) Kerjasama Pembangunan Luar Bandar kedua-dua pihak.

“MoU ini memberikan tumpuan kepada pembasmian kemiskinan tegar, peningkatan taraf sosioekonomi dan usaha merapatkan jurang pembangunan masyarakat desa.

“Ia turut menyediakan landasan kepada pembinaan keupayaan, pertukaran kepakaran, perkongsian amalan terbaik dan pembangunan modal insan secara lebih sistematik.

“Antara inisiatif akan diteroka ialah Program Pertukaran Desa atau Sister Village, pembangunan rangkaian pelancongan komuniti melalui Homestay Nusantara serta latihan kepimpinan desa pada peringkat akar umbi,” katanya.

Kata Ahmad Zahid lagi, Malaysia juga sudah memilih tiga kampung rintis di Pahang, Johor dan Sabah untuk menyertai ASEAN Village Network yang dicetuskan oleh Indonesia.

“Pada peringkat serantau, Malaysia memohon sokongan Indonesia terhadap cadangan penubuhan ASEAN Rural Development and Innovation Council(ARDIC) sebagai platform tetap untuk menyelaras dasar dan berkongsi inovasi pembangunan luar bandar dalam kalangan 11 negara ASEAN.

“Dalam pertemuan, kami turut membincangkan usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai instrumen untuk meningkatkan mobiliti sosial dan ekonomi generasi muda di kawasan luar bandar,” katanya.

Tambahnya, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kini mempunyai jaringan kerjasama dengan 24 institusi pengajian tinggi di Indonesia, manakala dua Surat Hasrat bersama pihak berkuasa tempatan di Indonesia, termasuk DKI Jakarta, dijangka memberikan manfaat kepada lebih 1,000 pelajar dan warga fakulti TVET.

Katanya, Malaysia juga berminat mengadaptasi model One Village One CEO yang dilaksanakan oleh Institut Pertanian Bogor ke dalam inisiatif Perantisan TVET Pertanian di Malaysia.

“Pada masa sama, kedua-dua negara akan terus mendukung ASEAN TVET Recognition bagi memudahkan pengiktirafan kemahiran dan mobiliti tenaga kerja mahir di rantau ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sebagai dua negara sahabat dan serumpun, Malaysia dan Indonesia akan terus memilih jalan musyawarah dalam merungkai setiap permasalahan serta memperluas ruang kerjasama demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran bersama.

“Hubungan istimewa ini akan terus kita pelihara dan perkukuh, bukan sahaja untuk kepentingan kedua-dua negara, tetapi juga bagi keamanan, kestabilan dan kemajuan rantau ini,” katanya. -BH Online