Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI hari ini memutuskan untuk menambah baik subsidi bil elektrik dengan memperluaskan tahap perlindungan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.

Katanya, langkah itu diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini.

“Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan membabitkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales & Service Tax),” katanya dalam kenyataan di FB petang ini.

Perdana Menteri sebelum itu mempengerusikan mesyuarat berkaitan kos elektrik di pejabatnya bersama wakil daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri PETRA dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Sekalung penghargaan khususnya kepada pihak TNB, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam memungkinkan langkah ini diambil dalam kadar segera,” katanya.

Perdana Menteri berkata keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj sekali gus menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa.

“Justeru itu, Kerajaan MADANI akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan dan beban hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara,” katanya.-BH Online