Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAS menyindir kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan ancaman yang diterima oleh Malaysia mengenai kritikan serangan Israel ke atas Gaza yang dilihat sebagai sesuatu yang lucu dan pelik.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Anwar menerima ancaman melalui “kenyataan-kenyataan” yang diisukan oleh para ahli parlimen negara Eropah.

Malangnya apabila didesak oleh media supaya menjelaskan dakwaan itu, dia enggan berbuat demikian, sebaliknya berkata kerajaan akan mengeluarkan kenyataan media mengenainya.

“Pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengkritik Israel sudah diketahui umum dan bukanlah berita baru,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu membuat ulasan mengenai ucapan Anwar ketika Majlis Himpunan Malaysia bersama Palestin di Stadium Axiata Bukit Jalil, Selasa lalu.

Ketika perhimpunan tersebut, Perdana Menteri ada mengatakan bahawa Malaysia mula menerima tekanan dari Israel dan sekutunya, iaitu Amerika Syarikat dan Eropah kerana kelantangan Malaysia mengkritik jenayah perang Israel di samping memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Ini saya nak tekankan, saya terima banyak teguran, ugutan…saya sebut kamu salah pilih orang (untuk ditekan),” katanya.

Takiyuddin juga berkata bahawa para bekas perdana menteri seperti Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan juga Ismail Sabri Yaakob juga dikenali sebagai seorang yang lantang dalam perjuangan isu ini, namun tiada laporan mereka diancam kedengaran.

Tambah beliau, Malaysia sudah lama menjalinkan hubungan rasmi bersama Palestin dan juga Hamas ketika pemimpinan Perdana Menteri sebelum ini.

“Jadi kenapa pula PM Anwar tiba-tiba diancam dan ancaman itu pula adalah dalam bentuk ‘kenyataan-kenyataan’ yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen?

“Sekiranya ancaman yang dimaksudkan itu benar-benar wujud dan berlaku, bukankah sebagai ketua kerajaan, langkah wajar yang perlu diambil oleh perdana menteri ialah dengan memanggil duta atau wakil negara terbabit bagi menyampaikan bantahan Malaysia terhadapnya, bukan membuat kenyataan terbuka tanpa penjelasan,” ujarnya.

PAS percaya kenyataan Anwar itu bersifat “alarmist” kerana ini menonjolkan “kehebatan” dan “kepentingan” seorang Perdana Menteri, tegas Takiyuddin lagi.

Sebelum ini, kunjungan Perdana Menteri ke Persidangan Asean-GCC,untuk bertemu dengan kepimpinan tertinggi bagi menyuarakan pendirian Malaysia ke atas isu Palestin-Israel. Anwar juga lantang mengkritik dan secara terang mengatakan Israel tidak berperikemanusiaan dan menyifatkan serangan Israel ke atas hospital di Gaza sebagai jenayah perang ketika berucap di Himpunan Malaysia bersama Palestin Selasa lepas. – Media Perpaduan