Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Luar Negeri membuat kenyataan bahawa Putrajaya tidak akan berganjak jauh sekali gentar dengan ancaman yang diterima oleh pihak luar ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pendirian Malaysia memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia tetap akan berdiri teguh bersama Anwar dalam mempertahankan rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis di Gaza.

Pada masa sama, beliau juga memberi komen bahawa Malaysia akan mengambil tindakan untuk tidak menamakan mana-mana pihak yang memberi ancaman kepada Anwar.

“Saya fikir elok kita tidak namakan siapa mereka tapi seperti mana yang ditegaskan Perdana Menteri sebelum ini berkali-kali kita tidak gentar dengan sebarang ugutan yang dilakukan oleh pihak mereka,” katanya menjawab soalan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) hari ini.

Zambry mengulas demikian bagi menjawab soalan tambahan oleh Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan untuk menamakan negara luar yang mengancam Anwar.

Ketika Perhimpunan Malaysia bersama Palestin Selasa lalu, Anwar mengakui bahawa terdapat ugutan dan teguran dari negara-negara yang pro-Israel terutamanya Amerika Syarikat.

Anwar menyatakan pendirian untuk terus menyokong dan membela rakyat Palestin selagi diberi mandat menjadi Perdana Menteri di samping menerima sokongan padu seluruh rakyat Malaysia.

“Saya sebut kamu (negara sokong Israel) salah pilih orang, Malaysia negara bebas dan merdeka. Kita kekal negara berdaulat akan pertahankan kebebasan Palestin.” katanya. – Media Perpaduan