MEKAH: Operasi haji Malaysia tahun ini berjalan lancar mengikut perancangan, dengan hampir 31,600 jemaah haji kini telah berada di Tanah Suci dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi fasa Masyair.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ketibaan penerbangan terakhir nanti akan menandakan keseluruhan jemaah Malaysia telah selamat tiba di Mekah bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.
“Setakat ini, sebanyak 99 penerbangan sewa khas melalui AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Madinah dan Jeddah, dengan penerbangan terakhir dijangka melengkapkan keseluruhan 100 penerbangan malam ini waktu tempatan,” katanya.
“Alhamdulillah, operasi haji Tabung Haji berjalan lancar seperti yang dirancang dan saya amat berpuas hati dengan pengelolaan urusan jemaah,” katanya dalam sidang media di sini.
Beliau berkata, kelancaran tersebut sekali lagi mencerminkan kecekapan pengurusan Tabung Haji yang terus diiktiraf sebagai antara model terbaik dunia dalam pengurusan haji.
Dalam perkembangan sama, Dr Zulkifli berkata majoriti jemaah Malaysia kini berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk menghadapi kemuncak ibadah haji dalam masa terdekat.
Dengan 1 Zulhijjah ditetapkan pada 18 Mei 2026, hari wukuf dijangka tiba kurang seminggu lagi, sekali gus menjadikan persiapan operasi Masya’ir kini di peringkat akhir.
“Persediaan akhir sedang diperkemas bagi memastikan pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai penambahbaikan terus dilaksanakan Tabung Haji, termasuk persediaan awal melalui kursus haji, pemakluman lebih awal kepada bakal jemaah serta pengurusan operasi yang lebih tersusun.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kerjasama erat serta usaha berterusan menambah baik kemudahan untuk jemaah haji dari seluruh dunia.
“Terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas pelbagai penambahbaikan termasuk infrastruktur di kawasan Masya’ir dan sekitar Masjidil Haram yang banyak membantu meningkatkan keselesaan jemaah,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan seperti laluan berbumbung dan perluasan kawasan dataran Masjidil Haram memberi manfaat besar kepada jemaah khususnya dalam menghadapi cuaca panas serta pergerakan yang padat.
Dengan semua jemaah kini lengkap berada di Tanah Suci, tumpuan operasi haji Malaysia beralih sepenuhnya kepada fasa Masyair, detik penentu dalam pelaksanaan ibadah haji tahun ini.-Astro Awani
