Sorting by

×

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan pertemuan dengan pengendali aplikasi Tiktok berhubung isu kandungan membabitkan konflik Palestin-Israel yang didakwa disekat di platform itu, pada Khamis ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata pertemuan tersebut akan diadakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan syarikat induk Tiktok.

“Saya lihat Tiktok sudah mula ‘cuak’ kerana kita akan bertemu dengan syarikat induk mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan ke atas dakwaan pengguna media sosial bahawa kandungan yang dihasilkan mereka yang mempunyai perkataan seperti Hamas dan beberapa perkataan lain, diturunkan secara automatik oleh pihak Tiktok.

Sementara itu, mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata kehadiran yang memberangsangkan dengan lebih 15,000 orang adalah tanda betapa teguhnya sokongan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.

“Kehadiran yang baik ini saya harap akan jadi pencetus dan memberi semangat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan semua yang ingin memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin agar  memastikan dan mengesahkan sumbangan kepada agensi ataupun badan yang diikitiraf.

“Kita risau tindakan pihak scammer atau pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk meraih dana dan kita tidak tahu dana itu pergi ke mana,” katanya. -Bernama