Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Istanbul, Turkiye untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan berhubung konflik Palestin dan Israel.

Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pada 6.15 petang (11.15 malam waktu Malaysia) untuk menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Erdogan, Anwar dijadualkan ke Kaherah, Mesir pada Ahad untuk bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi.

Semalam, Perdana Menteri berkata bahawa pertemuan dengan El-Sisi adalah bagi membincangkan mengenai pembukaan laluan sempadan Rafah untuk memudahkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke Palestin. Sempadan Rafah terletak di antara Mesir dan Genting Gaza, Palestin.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua lawatan kerja itu  mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami penduduk Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan.

Anwar tiba di Riyadh pada Khamis bagi mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi termasuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Beliau telah menyampaikan ucapan yang mengetengahkan konflik semasa Israel-Palestin pada sidang kemuncak pertama pemimpin ASEAN-GCC di Hotel Ritz-Carlton itu. -Bernama