Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MALAYSIA akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan, kata Datuk Mohamad Alamin.

Timbalan Menteri Luar Negeri itu berkata, ketegasan Malaysia bagi memastikan hak kedaulatan dan kepentingan negara kekal terpelihara akan disuarakan di mana-mana platform berkaitan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia tidak mahu terbabit dalam konflik dengan negara penuntut yang mempunyai kepentingan dalam isu Laut China Selatan.

Ini kerana katanya, sebarang tindakan yang menggugat keamanan dan kestabilan serantau tidak akan mendatangkan faedah kepada mana-mana pihak.

Jelasnya, antara usaha serantau memastikan keamanan, kestabilan dan mengelak ketegangan ialah dengan memeterai Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) pada 4 November 2002 oleh negara ASEAN dan China.

“Di bawah persefahaman itu, negara ASEAN mengambil pendekatan ‘ self-restraint’ dan memastikan tindakan yang diambil dan aktiviti yang dijalankan di Laut China Selatan, tidak meningkatkan ketegangan di perairan itu.

“Pada masa ini juga, negara ASEAN dan China sedang merundingkan Code of Conduct in the South China Sea (COC), yang juga satu kod tata cara mengelak konflik dan ketegangan di Laut China Selatan. Ia adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing.

“Rundingan COC ini sedang dilaksanakan ASEAN dan China menerusi platform ASEAN-China Joint Working Group on the Implementation of the DOC (JWG-DOC), berdasarkan Single Draft Negotiating Text (SDNT) COC yang digunakan sebagai asas rundingan,” katanya dalam jawapan bertulis dimuat naik di laman web Parlimen hari ini.

Mohamad Alamin menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-SIK) yan mahu Kementerian Luar menyatakan tindakan susulan Wisma Putra terhadap bantahan diplomatik kepada China berhubung Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa memastikan COC yang akan dirundingkan tidak sesekali mengenepikan kedaulatan dan hak kepentingan negara. – Media Perpaduan