DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar elaun pendakwah kontrak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam negeri (MAIN) dan Majlis Agama Islam negeri (MAIN), dinaikkan.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, elaun yang turut diberikan kepada penggerak masyarakat Orang Asli, mubaligh serta guru agama itu wajar dinaikkan selaras kadar gaji minimum.
Jelasnya, syor itu munasabah selepas mengambil kira pelbagai permasalahan perlu dihadapi golongan berkenaan, terutama dalam kalangan saudara baharu di pedalaman.
“Pendakwah atau mubaligh ini dikategorikan sebagai usaha dakwah sukarela dan dikenali sebagai sukarelawan penyebaran dakwah. Namun JAIN, MAIN dan JAKIM sudah mengambil beberapa inisiatif untuk meletakkan mereka sebagai pendakwah perkhidmatan secara kontrak.
“Justeru, jumlah elaun yang diberikan kepada mereka secara relatifnya masih rendah, walaupun perlu menyantuni banyak permasalahan, terutama dalam kalangan saudara baharu di pedalaman,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada sidang media Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia melancarkan aplikasi Glosari Bahasa Isyarat Islam (i-SIGN) sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun ILIM.
Aplikasi yang julung kali diperkenalkan di dunia itu dilancarkan, khusus bagi memenuhi keperluan komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
i-SIGN adalah inisiatif ILIM bagi pembangunan latihan untuk menyantuni komuniti OKU pendengaran, terdiri daripada pelbagai peringkat masyarakat, termasuk golongan mualaf dan Orang Asli. -Media Perpaduan
