Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyita sebuah kilang disyaki menyorok beras putih tempatan dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Menerusi kenyataan KPKM hari ini, sitaan dilakukan pasukan Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT).

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut pasukan Task Force Khas OP BPT mendapati beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Susulan itu katanya, pasukan Task Force Khas menyita BPT di dalam gudang tersebut dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000.

Operasi itu diketuai Timbalan Menteri KPKM, Chan Foong Hin bersama Kawalselia Padi dan Beras (KPB), polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS).

Justeru, Foong Hin memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya mematuhi undang-undang ditetapkan.

Tegasnya, KPKM dan anggota Task Force akan bertindak tegas terhadap sesiapa sama ada individu atau syarikat yang didapati melanggar peraturan sedia ada.

“Jangan mengambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin kecukupan bekalan makanan yang berpatutan untuk rakyat.

“Bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih,” katanya.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626.

Sekiranya didapati bersalah, kilang padi tersebut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 bagi kesalahan pertama dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras melalui notis secara bertulis boleh membatalkan atau menggantung lesen. – Media Perpaduan