Sorting by

×

MALAYSIA berpotensi meraih pelaburan bernilai RM216.04 bilion, hasil daripada lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara.

Perkara itu diberitahu Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini yang berkata, lawatan rasminya ke China pada 29 hingga 31 Mac lalu telah menjana nilai potensi pelaburan sebanyak RM170.07 bilion.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, misi di New York, Amerika Syarikat pada bulan lalu pula meraih pelaburan RM4.74 bilion.

Terbaharu dalam lawatan rasmi dua hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu, Anwar berkata Malaysia mendapat pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion melibatkan sektor tenaga boleh diperbaharui, logistik dan aeroangkasa.

“Pelaburan terbesar adalah daripada Masdar iaitu pembangunan projek tenaga boleh dibaharui di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt (GW) bernilai RM37.8 bilion.

“Selain itu, pelaburan komited berjumlah RM2.1 bilion adalah dalam sektor logistik dan RM709.1 juta bagi sektor aeroangkasa,” katanya.

Perdana Menteri menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang meminta beliau menyatakan hasil lawatan ke luar negara, termasuk pelaburan, kerjasama antara negara dan tahap keyakinan pelaburan asing terhadap Malaysia.

Menurut Anwar, bagi meyakinkan pelaburan China yang turut melibatkan syarikat automotif, Geely, beliau akan ke Tanjung Malim esok untuk merealisasikan pelaburan di Lembah Teknologi Tinggi Automotif.

Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November tahun lalu, Anwar sehingga kini telah melakukan 17 lawatan ke luar negara. –Media Perpaduan