Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) menawan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai membuktikan tiada gelombang hijau berlaku di Pahang, sebaliknya hanya gelombang biru dan merah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan Datuk Amizar Abu Adam menunjukkan Kerajaan Perpaduan semakin diterima rakyat Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi BN kemudian mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi Pelangai kerana memberi peluang kepada BN sekali lagi.

“Ucapan tahniah saya ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Amizar Abu Adam di atas kemenangan pada PRK Dun Pelangai kali ini.

“Tahniah kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merangkap Pengerusi BN Pahang yang telah mendapat membawa kejayaan PRK ini sekali lagi dan sekaligus mempertahankan kerusi BN di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK N36 DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail mengumumkan kemenangan Amizar dalam Pilihan Raya Kecil Pelangai.

Amizar yang dicabar dua calon meraih 7,324 undi manakala calon PN, Kasim Samat (4,375 undi) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli (47 undi).

Ahmad Zahid juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN juga rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan, jentera daripada Negeri-Negeri yang banyak membantu terutamanya jentera-jentera akar umbi.

“Tidak dilupakan kepimpinan UMNO Bahagian Bentong yang dipandu oleh Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh serta seluruh jawatankuasa empat peringkat yang banyak menyumbang kepada kemenangan ini,” katanya.

PRK DUN Pelangai terpaksa diadakan ekoran kematian penyandang, Datuk Seri Johari Harun dalam insiden pesawat berlaku di Elmina, Shah Alam pada Ogos lalu. -Media Perpaduan