Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

INDIVIDU yang mempunyai pengenalan diri (ID) dan disahkan layak akan dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, dua mekanisme itu bagi memastikan subsidi sampai ke golongan sasaran dan tidak berlaku penjualan kepada golongan yang tidak layak termasuk warga asing.

“Pada ketika ini kerajaan keluarkan 60 juta paket minyak masak bersubsidi setiap bulan, akan tetapi aduan diterima ialah ia tidak boleh didapati di pasaran dan selalu habis.

“Sekarang ini minyak masak paket berada di pasaran terbuka.

“Kita mahu sasarkan kepada yang memerlukan, supaya tidak berlaku penjualan kepada yang tidak sepatutnya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Justeru, Fuziah berkata, subsidi bersasar itu hanya yang ada ID dan disahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak yang paket bersubsidi itu.

“Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro,” katanya.

Fuziah menjelaskan, sekiranya pembelian dihadkan kepada 3 atau 5 kilogram, peniaga akan berhadapan bermasalah.

Menurutnya, penggunaan kad pengenalan berbeza juga boleh membantu menghalang golongan yang tidak layak daripada membeli produk bersubsidi.

“Lagi satu ialah golongan T20 tidak layak terima subsidi minyak masak paket. Maka perlu kepada ID yang berbeza,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Fuziah akan melaksanakan kaedah pembelian minyak masak paket kepada kumpulan sasar mulai tahun depan dan seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 sudah dikenal pasti dan layak berada dalam kumpulan itu.

Beliau berkata, kementerian juga akan menambah lagi kira-kira satu juta (pengguna) dalam kalangan usahawan mikro yang memerlukannya (minyak masak paket) seperti peniaga ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor.

Katanya, KPDN juga mewujudkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu agensi di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan semua data perlu dikemaskini dan dibersihkan. -Media Perpaduan