Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KENDERAAN elektrik (EV) bukan milik kayangan semata-mata, sebaliknya mampu dimiliki semua kumpulan berpendapatan dalam negara ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan memastikan perkara itu dapat direalisasikan menerusi subsidi bersasar dan bantuan kewangan.

Jelasnya, kerajaan akan turut bertindak memperluas usaha serta meningkatkan prasarana berkaitan pengecasan EV di negara ini.

“Dalam mengambil kira masa depan serta Belanjawan 2024, tumpuan kita jelas kepada keterangkuman yang seiring dengan dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Tesla di Cyberjaya, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Tengku Zafrul berkata, penekanan pelaksanaan dasar dan inisiatif itu memberi impak positif ke atas industri automotif tempatan, sekali gus memaparkan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem EV yang holistik di Malaysia.

Menurutnya, bilangan kenderaan EV berdaftar telah meningkat kepada lebih 3,400 unit pada 2022 dan melebihi 7,500 unit setakat September 2023 berbanding purata 300 unit pada tahun-tahun sebelum ini.

“Malah, pelaburan dalam industri EV kita juga mencecah paras memberangsangkan sebanyak RM26.2 bilion bagi tempoh 2018 sehingga Mac lalu,” katanya.

Mengenai kehadiran Tesla di Malaysia, Tengku Zafrul menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai pendorong yang akan meningkatkan ekosistem EV selain memacu potensi negara sebagai hab pengeluaran EV serantau yang dapat menarik lebih banyak pelaburan selanjutnya dalam sektor itu.

Jelasnya, menerusi kehadiran syarikat automotif terkemuka global itu juga, Malaysia bersedia mempercepat peralihan kepada EV dan seterusnya menyaksikan lonjakan kemajuan teknologi, penyelidikan dan pembangunan dalam sektor EV.

“Kita berharap dapat melihat lebih banyak bakat atau pekerja tempatan dapat dipupuk, peningkatan perniagaan tempatan dalam rantaian bekalan EV serta pertambahan inovasi yang akan meletakkan Malaysia di peta dunia dari segi pengangkutan lestari,” katanya. -Media Perpaduan