Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DUA individu yang salah seorangnya bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kanan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta.

Suspek adalah lelaki berusia 20-an yang ditahan bersama seorang lagi suspek lelaki berusia 50-an yang juga pemilik sebuah syarikat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, 11 malam tadi.

“Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku bernilai RM80juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.

“Suspek kedua pula dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan itu dengan meminta dan menerima rasuah melalui syarikatnya daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek berkenaan,” lapor Malaysiapost yang memetik sumber.

Kedua-dua suspek yang ditahan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, untuk permohonan reman.

Pendaftar Mahkamah, Nur Adilah Halid membenarkan reman terhadap suspek selama empat hari bermula hari ini hingga 26 September.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. -Media Perpaduan