Sorting by

×

ANGGARAN hanya lima peratus pengadu yang berani dan tampil melaporkan jenayah rasuah secara bersemuka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, masih ramai yang skeptikal mengenai implikasi negatif yang bakal terjadi kepada mereka akibat tindakan itu.

Jelasnya, pengadu lebih selesa dengan menggunakan apa jua aplikasi dalam talian yang ada termasuklah hebahan di media sosial atau menularkan apa perkara yang berlaku.

“Saya tidak memandang media sosial sebagai sesuatu yang terlalu negatif tetapi kebijaksanaan amat penting dalam hal ini iaitu bagaimana membuat penilaian supaya jangan tersalah langkah.

“Salah satu kaedah yang digunakan ialah kita (SPRM) perlu melihat kepada media arus perdana terlebih dahulu. Apa yang keluar daripada media arus perdana itu adalah keutamaan.

“Maka, disinilah tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul pengamal media malah warga SPRM juga agar dapat menyampaikan sesuatu yang sahih, tepat dan mampu mendidik minda masyarakat ke arah kebaikan,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap sempena Majlis Malam Anugerah Media SPRM 2022, ibu negara, malam tadi.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pegawai SPRM sering diingatkan agar menjadi ‘muda mengikut zaman’ atau dalam erti kata lain sentiasa mengikut trend teknologi semasa.

“Kita perlu berubah daripada segi pendekatan dan tidak boleh mengikut cara lama lagi dalam menyampaikan atau mencari maklumat atau seumpamanya.

“Kita harus menyedari bahawa terlalu banyak perkara yang boleh dimanfaatkan menerusi ‘open source’ di luar sana, namun, ia perlu kajian dan pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Pada masa sama, Azam menegaskan, peranan media sangat penting membantu SPRM dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Katanya, media berperanan sebagai jambatan perantara yang membolehkan maklumat mengalir secara dua hala, termasuk sebagai penghubung antara pemerintah dan rakyat.

“Kuasa media sebagai tunjang keempat atau “fourth pillar in a democracy” mampu memantau, mendidik, memberi amaran malah mendedahkan kepincangan atau salah laku yang berlaku dalam kerajaan dan masyarakat.

“Oleh sebab itu, kuasa media mampu mewujudkan persepsi, baik positif atau pun negatif serta mampu mengalih atau menumpukan perhatian terhadap individu atau pun sesuatu isu,” katanya. -Media Perpaduan