Sorting by

×

GELAGAT terjerit-jerit bagaikan diserang histeria Datuk Dr Radzi Jidin di Dewan Rakyat semalam, jelas telah memalukan sekali gus menjatuhkan kredibiliti sebagai seorang Ahli Parlimen.

Pengarah Komunikasi Wanita Keadilan, Noraini Nordin berkata, gelagat Ahli Parlimen Putrajaya dari Perikatan Nasional (PN) itu amat dikesali kerana telah mencemarkan Dewan Rakyat sebagai medan perbahasan membawa suara rakyat.

“Ia memperlihatkan kualiti beliau yang rendah dan gagal mengawal emosi, sedangkan di Dewan Rakyat adalah medan untuk membentangkan idea, fakta dan hujah lawan dengan hujah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, Dr Radzi sepatutnya melawan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan hujahnya, bukan dengan menjerit-jerit dan mengungkapkan kata-kata tidak sopan terhadap Perdana Menteri.

“Sudahlah Radzi tidak menunjukkan kematangan, Ahli-Ahli Parlimen PN lain yang turut menjerit juga memperlihatkan mereka mempunyai perangai yang sama.

“Lebih buruk lagi, apabila Radzi diarahkan keluar oleh Speaker berikutan perlakuan tidak wajarnya itu, semua Ahli Parlimen PN secara sepakat juga meninggalkan Dewan Rakyat.

“Ertinya, semua mereka tidak matang dan berkualiti rendah,” katanya.

Tegas Noraini, insiden yang tercetus ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berbahas penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) adalah sesuatu yang amat memalukan serta tidak seharusnya berlaku.

Anwar yang mempertahankan keputusan bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun yang menghentikan prosiding pendakwaan 47 kes terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau terbabit campur tangan dalam keputusan itu.

Dr Radzi yang tergelak kemudiannya dibalas dengan kenyataan Anwar.

“You boleh gelak… you boleh gelak Putrajaya, kerana you buat perkara itu.

“Semasa pentadbiran (PN) you buat perkara itu,” kata Anwar.

Kenyataan Anwar itu membuatkan Radzi segera membantah dan seperti diserang histeria lantas menjerit…. “Tarik balik, tarik balik.”

Suasana panas itu berlarutan hampir 30 minit dengan Dr Radzi terus mengulang-ulang perkataan “Tarik balik, tarik balik”, malah menyerang Perdana Menteri dengan kata-kata tidak sopan.

Apa yang dikesalkan, Noraini berkata, tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang masuk campur bukan untuk mendamaikan suasana hangat Dewan Rakyat, sebaliknya bagaikan mencurah minyak ke api yang sedang terbakar.

“Apabila keadaan semakin tidak dapat dikawal dan beberapa Ahli Parlimen PN turut masuk campur, Speaker Parlimen, Tan Sri Johari Abdul kemudian mengarahkan Radzi keluar dari Dewan Rakyat.

“Ketua Pembangkang menunjukkan solidariti terhadap arahan kepada Radzi itu dengan meminta semua Ahli Parlimen PN juga meninggalkan Dewan Rakyat secara beramai-ramai.

“Kenapa mereka mesti keluar sama meninggalkan Dewan Rakyat mengikuti hukuman yang dikenakan kepada Radzi?

“Di mana perjuangan mereka untuk membela nasib rakyat di Parlimen dengan bertindak keluar Dewan Rakyat,” katanya.

Selepas Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat, Anwar menyambung ucapan pergulungan dengan merujuk kepada keadaan pentadbiran dibawah PN.

“Apa yang saya katakan itu benar, Putrajaya (Radzi) tahu (apa yang berlaku), dia adalah sebahagian daripada pentadbiran lama dan AG ‘lama’ (Idrus).

“Sebab itu dia (Radzi) tidak tahan mendengar penjelasan saya.

“Ini kerana mereka sudah biasa dengan sistem itu dan mereka fikir saya juga melakukan perkara yang sama,” katanya. -Media Perpaduan