Sorting by

×

MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menangguhkan keputusan representasi bagi kes penyelewengan minyak masak bersubsidi dua pengarah sebuah syarikat.

Salah seorang pengarah itu ialah anak kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, lapor Utusan Online.

Hakim, Mazni Nawi membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan hanya menerima representasi daripada salah seorang orang kena saman (OKS) iaitu Muhammad Faisal Hamzah, 39 manakala Azizul Abdul Halim, 55, belum mengemuka representasinya.

Justeru, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Syazwani Zawawi meminta tarikh baharu bagi membolehkannya meneliti kedua-dua representasi secara holistik.

Peguam, Hasnan yang mewakili Azizul turut meminta tempoh sekurang-kurangnya sebulan untuk mengemukakan representasi tersebut.

Manakala, peguam mewakili Muhammad Faisal iaitu Krishna Dallumah pula memohon supaya keputusan representasi tersebut dipercepatkan kerana permohonan telah dibuat pihaknya sejak 30 Jun lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 November ini untuk sebutan semula kes.

Pada 5 April lalu, Muhammad Faisal bersama kenalannya Azizul membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan berkaitan kes penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Berdasarkan pertuduhan sebelum ini, mereka yang pada ketika itu merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. didapati memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invois penjualan minyak masak kepada dua kedai runcit di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri kira-kira pukul 5 petang pada 12 Ogos tahun 2022.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 22(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 hendaklah disifatkan telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak di mana kedua-duanya merupakan pengarah syarikat berkenaan juga didakwa memiliki barang kawalan berjadual tersebut melebihi had 50 metrik tan.-Media Perpaduan