Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar akan memaklumkan kekosongan di kerusi N67 Jepak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Kekosongan kerusi DUN berkenaan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip, semalam.

Berdasarkan peruntukkan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak, Timbalan Speaker DUN Sarawak, Datuk Idris Buang menjelaskan adalah menjadi tanggungjawab Mohamad Asfia mengemukakan notis kepada SPR tentang kekosongan itu.

“Speaker selepas ini akan memberitahu pihak SPR agar pihak SPR mengeluarkan perintah dan writ untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana kita ada lebih kurang tiga tahun lagi hayat DUN,” katanya dipetik BH selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Talib, di Pusat Perubatan Normah, di Kuching malam tadi.

Beliau berkata, Perlembagaan Negeri Sarawak mengkehendaki PRK diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh notis kekosongan dimaklumkan kepada SPR.

Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.50 petang tadi ekoran komplikasi buah pinggang selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu semalam.
Allahyarham adalah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak. – Media Perpaduan