Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KETUA Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menasihatkan kepada mana-mana individu yang ingin menyertai Himpunan Aman Selamatkan Malaysia esok, sekaligus membatalkan hasrat kerana ianya akan mengganggu ketenteraman awam.

Menurutnya, menyertai perhimpunan itu akan menyusahkan pergerakan orang ramai terutamanya peniaga dan pekerja di kawasan sekitar lokasi berlangsung.

Senada dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Razarudin menegaskan, Hari Malaysia yang disambut esok perlu diraikan dan dihormati sekali gus menghindar untuk melakukan kekacauan dengan berhimpun.

“Kalau kita perhalusi, penganjur sendiri gagal mematuhi syarat dengan tidak mengemukakan nama dan lokasi sebenar perhimpunan mereka dalam tempoh lima hari menghantar notis pemakluman kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, seperti yang termaktub dalam Seksyen 10 Akta Perhimpunan Aman (Apa 2012),” katanya dipetik BH, hari ini.

Setakat ini, Razarudin berkata, sebanyak 22 laporan sudah dibuat oleh orang ramai yang meminta pihak polis menghalang penganjuran perhimpunan itu daripada diteruskan.

“Kita (polis) sudah menerima 22 laporan daripada peniaga dan pekerja kawasan berhampiran, badan bukan kerajaan (NGO), penduduk Kampung Baru dan orang ramai.

“Perhimpunan ini juga akan menyebabkan aliran lalu lintas terganggu hingga menyukarkan pergerakan orang awam pada cuti hujung minggu,” katanya.

Bagaimanapun, Razarudin menjelaskan, polis akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap sebarang perkara yang didapati melanggar undang-undang dan perlembagaan negara.

Tegasnya, polis akan tetap sentiasa menjaga keamanan dan ketenteraman awam sebaik mungkin bagi mengelak sebarang situasi yang mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.
-Media Perpaduan