Sorting by

×

USAHLAH ada yang menjadi ‘kerengga’ parasit yang merosakkan perpaduan negara yang kita sayangi ini, kata Noraini Nordin.

Pengarah Komunikasi Wanita PKR itu berkata, rakyat Malaysia perlu memupuk semangat keharmonian, perpaduan dan saling memahami yang berterusan dalam semua urusan.

Tegasnya, dalam menjalani kehidupan, terutama dalam negara yang mempunyai kepelbagaian ini makna sebenar kehidupan adalah nilai keharmonian, perpaduan dan saling memahami itu kekal menjadi keutamaan untuk dijaga sepanjang masa.

“Malaysia yang diterajui Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah cantik di landasan kesejahteraan serta keharmonian,”
katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Pemangku Ketua Penerangan Wanita PKR, berkata, hari ini adalah hari yang bersejarah buat semua sebagai rakyat Malaysia.

“Selain 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia pada 16 September adalah satu lagi titik sejarah yang menjadi kebanggaan kita.

“Pada tarikh 16 September 1963 inilah bersatunya Sabah dan Sarawak sebagai komponen rasmi Malaysia.

“Bermakna hari ini sudah 60 tahun sejarah tertubuhnya Malaysia yang menyatukan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Meskipun sentiasa ada pelbagai cabaran yang mengocak keharmonian, Noraini berkata, adalah penting setiap kita menyematkan dalam diri masing-masing untuk sentiasa menjaga perpaduan sesama anggota masyarakat.

Tegasnya, dalam apa jua urusan seharian sama ada bersama keluarga, rakan di tempat kerja, jiran, berpersatuan, dalam berpolitik dan sebagainya apa yang terpenting dan membahagiakan adalah apabila wujud keharmonian, perpaduan dan semangat saling memahami antara satu sama lain.

“Tanpa tiga elemen itu, apa pun yang hendak dilakukan akan mendatangkan kesengsaraan akhirnya,” katanya. -Media Perpaduan