Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Kebimbangan mengenai pendedahan aurat ketika menjalani proses bersalin atau prosedur rawatan kini ditangani menerusi garis panduan penjagaan aurat pesakit yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meningkatkan keselesaan dan privasi wanita di fasiliti kesihatan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM Datuk Dr Mohd Azman Yaacob berkata garis panduan pertama seumpamanya di Malaysia itu meliputi penjagaan aurat pesakit di dewan bedah dan dewan bersalin, termasuk penyediaan pakaian serta bahan pakai buang bersesuaian bagi menutup bahagian tubuh yang tidak perlu didedahkan ketika prosedur dijalankan.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan langkah asas yang sebelum ini kurang diberikan perhatian secara menyeluruh, walaupun keperluan menjaga privasi pesakit terutama wanita ketika menjalani rawatan merupakan aspek penting dalam perkhidmatan kesihatan.

“Ini bukan satu benda yang rocket science. Bagi saya ini satu benda asas yang kita tertinggal selama ini, yang kita perasan tetapi kita tidak ambil inisiatif yang mencukupi untuk kita mengorak langkah ke arah itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Panduan Penjagaan Aurat Pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini hari ini.

Beliau berkata di dewan bedah, pesakit sebelum ini tidak dibenarkan memakai pakaian dalam ketika prosedur dijalankan atas faktor kebersihan dan risiko pencemaran, namun KKM kini menyediakan bahan pakai buang yang bersesuaian bagi membantu menutup aurat pesakit.

Beliau berkata pendekatan serupa turut diterapkan di dewan bersalin menerusi penyediaan pakaian yang dapat menutup bahagian tubuh pesakit, dengan hanya bahagian tertentu yang diperlukan bagi tujuan prosedur perubatan didedahkan.

Dr Mohd Azman berkata langkah itu juga diharap dapat mengurangkan kebimbangan sesetengah wanita yang memilih alternatif lain untuk bersalin, termasuk di luar fasiliti kesihatan, kerana berasa malu atau tidak selesa dengan situasi pendedahan aurat ketika proses kelahiran.

Sehubungan itu, beliau berkata KKM menyasarkan semua ibu bersalin di fasiliti kesihatan sama ada hospital atau klinik kesihatan yang menawarkan perkhidmatan berkaitan, memandangkan proses kelahiran boleh melibatkan komplikasi yang tidak dijangka dan berpotensi mengancam nyawa ibu serta bayi.

Antara risiko yang boleh berlaku ketika proses bersalin termasuk pendarahan berterusan, masalah pengeluaran plasenta serta kedudukan bayi yang boleh memerlukan intervensi atau pembedahan oleh petugas perubatan terlatih.

Dr Mohd Azman berkata kehadiran pakar, pegawai perubatan dan jururawat terlatih dalam bidang kebidanan penting bagi memastikan komplikasi yang berlaku ketika proses kelahiran dapat ditangani segera.

Beliau berkata garis panduan berkenaan telah dilaksanakan di HRPZ II dan pelancarannya hari ini bertujuan memaklumkan kepada masyarakat mengenai kemudahan yang disediakan, supaya kebimbangan berkaitan aurat tidak menjadi penghalang kepada wanita mendapatkan rawatan atau bersalin di fasiliti kesihatan.–BERNAMA