PETALING JAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kembali berkhidmat dalam pasukan polis di bawah pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Notis yang dilihat menyatakan Shuhaily kini bertugas di Sekretariat Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa KPN dengan pangkat Komisioner Polis (CP), iaitu pangkat yang pernah disandangnya sebelum ini.
Notis yang ditandatangani Khalid itu menyatakan pertukaran berkenaan berkuat kuasa pada 24 November lalu.
Wartawan NSTP telah menghubungi Mohd Shuhaily bagi mendapatkan pengesahan namun beliau enggan mengulas.
Usaha mendapatkan maklum balas daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Mohd Khalid juga telah dibuat namun tiada pengesahan rasmi diberikan setakat ini.
Pada 21 Oktober lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan mencederakan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), September lalu.
Susulan pertuduhan itu, Saifuddin berkata kementeriannya memutuskan untuk menamatkan penempatan Shuhaily secara pinjaman di AKPS.
Bagaimanapun, Shuhaily dilihat kembali menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 2 November lalu apabila mempengerusikan mesyuarat komander, selepas dilaporkan bercuti pada minggu sebelumnya.
Pada 14 November lalu, Khalid berkata, beliau masih belum menerima sebarang arahan berhubung kepulangan Shuhaily ke pasukan polis.
Beliau menjelaskan, Shuhaily sedang menjalani kontrak dua tahun sebagai Ketua Pengarah AKPS menerusi pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Shuhaily sebelum ini pernah mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dipinjamkan ke AKPS sebagai ketua pengarah pada 1 Julai tahun lalu. -BH Online
