Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan pertemuan dengan Olahraga Malaysia (MA) dalam masa terdekat bagi memperkukuh latihan serta kompetensi pegawai teknikal susulan kontroversi acara lumba jalan kaki pada Kejohanan Program Pembangunan Junior (JDP) 2026, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata pertemuan itu penting bagi memastikan pegawai teknikal bersedia menghadapi cabaran lebih besar, terutama menjelang acara separuh maraton lumba jalan kaki yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2027.

Menerusi hantaran di Threads, beliau berkata sudah menonton rakaman acara 800 meter lumba jalan kaki pada JDP Siri 3 di Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), 14 November lalu dan memahami kekecewaan ibu bapa yang membangkitkan isu berkenaan.

“Saya dah tengok video lumba jalan kaki 800 meter di JDP Siri 3, UPNM, 14 November lalu. Saya faham rasa terkilan ibu bapa.

“Kejohanan ini anjuran Persatuan Lumba Jalan Kaki Malaysia bersama Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan. Penjelasan terbuka daripada penganjur dan panel hakim amat wajar,” katanya.

Beliau turut menegaskan atlet dan ibu bapa berhak mendapat penjelasan mengenai keputusan yang dibuat dalam pertandingan berkenaan.

“Saya mahu penganjur dan panel hakim memberi penjelasan terbuka kepada atlet dan ibu bapa. Atlet dan ibu bapa berhak untuk tahu bagaimana keputusan itu dibuat,” katanya.

Kontroversi itu tercetus selepas rakaman acara berkenaan tular di media sosial, dengan timbul dakwaan seorang peserta melakukan pergerakan seperti berlari ketika memintas lawan sebelum memenangi perlumbaan.-BH Online