Sorting by

×

Niat PAS untuk bekerjasama dengan UMNO tanpa penyertaan DAP telah disifatkan sebagai dasar pecah dan perintah PAS oleh setiausaha eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Khairuddin Aman Razali.

Beliau memperingatkan bahawa kerjasama BN yang dianggotai UMNO adalah dengan Pakatan Harapan yang turut dianggotai DAP.Kerajaan pula ditubuhkan dengan titah Yang Di-Pertuan Agong dalam keadaan tiada gabungan mempunyai majoriti parlimen.

Tetapi naratif ini sengaja diulang oleh PAS untuk membina persepsi negatif terhadap kerjasama Kerajaan Perpaduan. Itulah kerja PAS membina persepsi negatif pada parti lawan,” kata Khairuddin dalam hantaran Facebook.

“Kerjasama politik antara BN dan PH diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno bukannya keputusan individu seusai PRU. Keputusan untuk kerjasama dengan mana-mana parti juga mesti keputusan oleh parti bukannya individu-individu.

“Adakah PAS mahu bermain dengan agenda pecah-perintah di kalangan pemimpin Umno sebagaimana PAS lakukan di akhir-akhir berkerajaan bersama di peringkat persekutuan sebelum ini?” soal bekas ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan timbalan presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu menghidupkan semula kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional.

Tuan Ibrahim telah mengenakan syarat bahawa kerjasama tersebut boleh dibuat tanpa penyertaan DAP.

Dalam perkembangan berkaitan presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telahpun menolak tawaran Tuan Ibrahim.