Sorting by

×

Islam lebih terancam di bawah Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan pembangkang tersebut mencanangkan bahawa Islam terancam di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mutakhir ini pengenalan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi menyaksikan parti komponen PN – Gerakan terserlah sebagai penentang utama modul tersebut.

Justeru itu Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata rakyat perlu sedar perkara ini dan lebih teruk lagi, PAS tidak mengecam Gerakan dalam perkara ini.

“Ia bukan kali pertama bantahan seperti ini berlaku, tetapi kita lihat Pas tidak ada yang berani atau secara secara terbuka menegur Gerakan.

“Walaupun ada yang menegur tetapi teguran itu lebih fokus kepada MCA dan NGO (Badan Bukan Kerajaan) tanpa menyebut (nama) Gerakan.

“Maknanya kalau dengan kawan-kawan mereka lunak dan lembut (biar sekuat mana pun lawan Islam) tetapi bila dengan DAP cara mereka begitu keras sekali,” katanya, lapor Suara Keadilan.

Modul tersebut telah dilancarkan pada 19 Ogos dan pelaksanaannya akan dimulakan di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), membabitkan guru dan pelajar Islam sahaja.

Ekoran itu Gerakan menentang pelaksanaan modul tersebut dan berkata akan mencabar pelaksanaan tersebut menerusi saluran mahkamah.

Terbaru, parti tersebut telah mengendurkan langkah dan bersetuju dengan pelaksanaannya asalkan ia tidak melibatkan pelajar bukan Islam.